SELAMAT DATANG

Friday, November 30, 2012

UJIAN

Salam sejahtera,

Ujian adalah asam garam dalam kehidupan. Ujian yang paling besar adalah rasa malas dan beralasan untuk tidak melakukan amal yang disukai Tuhan. Namun, ramai yang tidak menganggap ia sebagai ujian yang paling besar.

Pada masa ini saya dilanda ujian yang paling besar itu. Bagai ada sesuatu yang menghalang diri dari melakukan sebarang kerja. Bahkan, blog ini juga telah tidak terjaga.

Saya memohon kepada Allah agar dilepaskan dari ujian ini. Hanya usaha, doa dan tawakal sahaja yang mampu kita lakukan.

Andai dapat tuan-puan diluar sana doakan untuk saya agar dilepaskan dari ujian ini dan dipermudahkan segala pekerjaan. Semoga Allah membalas jasa tuan-puan sekalian.

Sunday, April 15, 2012

Kawanku Mari



Kisahnya bermula begini...

Pada suatu petang yang indah, saya berjalan-jalan di tempat kerja saya. Berjalan-jalan ini bukan bermaksud saya mencuri tulang. Saya terpaksa berjalan kerana hendak bertemu dengan bos saya. Jarak antara pejabat saya dengan pejabat bos saya adalah agak jauh hinggakan saya selalu menggunakan kereta untuk ke sana. Dari pejabat, saya berjalan menuju ke kereta saya di tempat letak kereta yang berhampiran. Kemudian, memandu kereta sehingga ke tempat letak kereta yang berhampiran dengan pejabat bos saya itu pula. Akhir sekali, saya perlu berjalan lagi menuju ke pejabat bos saya yang berada di tingkat dua. Agak penat dan membosankan seperti anda sedang kepenatan dan kebosanan membaca permulaan cerita saya ini.


Semasa memasuki bangunan pejabat bos saya, saya melihat suasana yang gilang-gemilang dan penuh dengan manusia. Rupa-rupanya, pada hari tersebut terdapat pasar lambak yang diadakan di dalam dewan di situ. Dengan tujuan yang satu dan jitu, saya mengabaikan pasar lambak yang dijalankan oleh pelajar-pelajar di situ. Ya! Tujuan saya ke situ adalah hendak berjumpa dengan bos saya. Namun saya telah lupa apakah tujuan saya berjumpa dengan bos saya pada hari tersebut. Oh! Saya sudah tua. Apa yang saya ingat, setelah berjumpa dengan bos saya rakan sekerja saya mengajak saya melihat-lihat ke pasar lambak itu. Walaupun hati saya agak keberatan kerana ia seperti mencuri tulang, namun saya telah dimomokkan dengan slogan "memberi dorongan kepada pelajar yang menjalankan aktiviti" yang akhirnya berjaya membawa saya melihat-lihat di pasar lambak itu.


Semasa di dalam dewan tempat pasar lambak itu diadakan, saya terasa seperti ada suatu tarikan yang menarik saya ke satu penjuru. Ia sememangnya berada di penjuru dewan. Apabila saya melangkah ke situ, saya amat terperanjat kerana melihat beberapa marimo sedang berehat tenang di dalam akuarium. Ianya sangat comel. Akibat kecomelan mereka, saya telah membeli satu daripada marimo-marimo yang dijual kerana tidak mampu membeli kesemuanya sekali. Semenjak itu marimo yang saya beli telah bernama Mari dan menjadi kawan saya yang setia.

Kesetiaan Mari memang tidak berbelah bagi. Mari selalu berada di sisi saya di tempat kerja. Mari juga tidak pernah merungut apabila ditinggalkan sewaktu saya pulang dari kerja. Lebih baik lagi, Mari tidak pernah cuba mencakar saya apatah lagi cuba menggigit saya. Mari hanya menunjukkan sikapnya yang tenang dan tabah.

Hendak dijadikan cerita, tidak seperti cerita dongeng Singapura Dilanggar Todak, cerita saya dan Mari ini adalah kisah benar yang tiada tipu daya di dalamnya. Cerita ini juga tiada unsur-unsur iri hati pembesar kepada kanak-kanak yang genius. Bahkan ia adalah cerita yang kelihatan biasa pada sudut pandang yang biasa, tetapi agak luar biasa hanya jika dipandang dari sudut yang luar biasa. Ceritanya begini.



Saya agak lambat pulang ke pejabat saya kerana berjumpa dengan bos saya. Oh! Ia adalah rutin yang biasa untuk berjumpa dengan bos. Perjumpaan itu tidak bertujuan untuk membodek bos. Tidak baik betul jika anda salah anggap tujuan saya.

Kerana saya terlewat, rakan-rakan sepejabat telah pergi keluar untuk makan tengah hari dengan meninggalkan saya. Namun, Mari setia menunggu saya. Akhirnya saya makan bihun segera buat mengalas perut di samping Mari yang setia itu. Alahai! Cerita ini agak "lame" untuk menggambarkan betapa baiknya Mari.


Kebaikan Mari memang tidak dapat diceritakan dengan cara yang berbunga-bunga bahasa. Namun Mari setia menyumbangkan Oksigen yang saya sedut di dalam bilik pejabat saya. Bayangkan, kami bersimbiosis antara satu sama lain. Saya membekalkan Karbon Dioksida kepada Mari dan Mari pula membekalkan Oksigen kepada saya.


Semoga Mari terus membesar dengan sihat dan menjadi Marimo yang terbesar di Malaysia, bahkan di dunia.



TAMAT


Entri ini dibuat khas untuk Pertandingan 'Kawanku....' oleh Husna Adnan.

Silalah lawati laman blog Husna Adnan di 1001husnaadnan.blogspot.com dan marilah membaca karya beliau yang sangat menarik yang berjudul Kawanku Panda.





Monday, March 5, 2012

Merenung dan beramal dengan nasib

Saya sebenarnya agak pelik dengan manusia. Ya! Saya juga adalah manusia. Saya juga berasa pelik dengan diri saya sendiri. Masakan saya tidak berasa pelik dengan diri sendiri apabila saya sendiri tidak tahu bagaimana otak saya mengawal pemikiran saya. oh! Sekarang ia sudah menjadi semakin pelik kerana saya rasa diri saya bukan saya tetapi adalah otak saya. Errr... Apakah saya sebenarnya, seluruh badan sayakah atau otak sayakah? Ah! Manusia memang pelik. Abaikan!

Membicarakan tentang diri sendiri dan mencari zat yang dikatakan diri sendiri itu sememangnya sesuatu yang pelik dan misteri. Maka, jangan difikir akan hal itu. Ada perkara pelik yang lebih wajar difikirkan. Itulah dia bertenung nasib. Bertenung nasib ini sama maknanya dengan meramal nasib atau menilik nasib.

Apa yang pelik dengan bertenung nasib? Yang pelik ialah ramai orang yang suka atau suka-suka bertenung nasib. Ada yang bertenung nasib dengan buruj di langit, ada juga yang bertenung nasib dengan entah apa-apa aplication di FB. Bertambah pelik bila yang melakukan itu adalah orang Islam. Bertambah pelik bila mereka yang bertenung nasib inilah yang like bagai nak rak jika ada ustaz yang buat note tentang haramnya bertenung nasib. Mereka like setelah membaca atau like sebab suka-suka, hanya mereka yang tahu.

Saya menulis tentang hal ini kerana ramai kawan saya di FB yang beragama Islam yang suka-suka bermain dengan ramalan nasib ini. Jika dikaitkan buruj di langit itu dengan psikologi mungkin boleh diterima lagi. Tetapi tidak boleh juga diterima bulat-bulat kerana yang bulat itu sifatnya bergolek. Yang meruntun hati saya bila mereka bertenung tentang rezeki, jodoh, kesihatan dan seumpamanya. Ini memang haram. Jika tidak percaya sila google sendiri dan pastikan kamu baca tulisan dari ustaz-ustaz yang berautoriti.

Tentang hukum sudah jelas. Kini tentang keperluan dan kebaikan (jika ada).

Mengapa kita mesti menilik nasib? Adakah mengetahui apa yang akan berlaku itu sangat penting. Jika penting, marilah saya berikan satu tilikan yang tidak akan pernah salah. Tilikan keramat yang tidak mencederakan kura-kura dan tidak memerlukan syiling berlubang tengah. Juga tidak memerlukan pengiraan perjalanan bintang-bintang di langit dan kepandaian melihat intensiti cahaya bintang-bintang pilihan. Tilikan yang seratus persen tepat tanpa salah. Jika kamu baca tilikan ini, maka hasil tilikan ini pasti akan mengenai kamu. Saya tilikkan khas buat kamu, hasil tilikan itu ialah suatu hari nanti kamu pasti akan mati. Bukan sahaja kamu, bahkan saya dan semua makhluk yang hidup pasti akan mati. Puas hati? (Ini bukan tilikan haram, ini maksud dari surah al-Imran ayat 185: Setiap (makhluk) yang hidup, pasti akan mati)

Setelah tahu kita pasti akan mati, apa yang menariknya? Tiada apa-apa yang menarik bukan? Maka, kenapa mesti menilik nasib? Suka-suka dan sengaja mahu bergembira? Oh! bahagia rupanya bila melanggar perintah Tuhan. Begitu?

Di sini ada beberapa perkara yang boleh difikirkan tentang tilik nasib. Hayati dan fahamilah demi kebaikan bersama.

1) Orang Islam haram bertenung nasib. Bahkan, berjumpa tukang tilik pun sudah salah, belum lagi kalau percaya dengan tilikannya.

2) Sifat manusia akan terpengaruh dengan kata-kata. Jika kita bermain tilik nasib di FB kerana suka-suka dan tilikan itu benar-benar terjadi pasti kita akan kata "Eh! Betullah ramalan bintang ini." Hasilnya, tercabutlah iman dari hati.

3) Jika sesuatu tilikan itu benar, maka tiada apa yang mampu menghalangnya dari berlaku. Oleh itu, lebih baik kita tidak tahu. kalau kita tahu pun bukan kita boleh buat apa-apa. Contohnya, jika kita tahu kita akan putus kaki dan tidak mampu hendak mengelakkannya dari berlaku kerana tilikan itu tepat 100%. Apa faedahnya?

4) Jika tilikan itu salah. Maka apa bangangnya kita hendak dengar dan percaya pada penipuan? Takkanlah kita hendak diperbodohkan oleh tukang tilik yang palsu lagi pembohong.

Solusi untuk perkara 3 dan 4 sebenarnya mudah di mulut tapi susah dipraktikkan. Caranya ialah dengan usaha. Jika kita hendak tahu kita akan berjaya atau tidak, lihatlah usaha kita. Jika bersungguh dan betul jalannya, maka insyaAllah akan berjaya. Jika tidak berjaya, kita tetap mendapat pengalaman. Gunakan pengalaman itu pada kerja yang seterusnya dan jangan ulangi kesalahan. Lama-lama pasti akan berjaya. Tidak perlu bertilik nasib.

Maka, tujuan saya menulis disini hanya satu. Hentikanlah bermain aplikasi ramalan bintang atau apa-apa saja jenis ramalan di FB. Bukan sahaja tiada faedah, bahkan boleh merosakkan akidah. Janganlah sampai saya buat satu NGO pula sebab semakin ramai orang Islam yang main aplikasi tersebut. Saya bukan ahli politik yang boleh lompat atas pagar dan buat NGO.

Wednesday, February 29, 2012

ULASAN BUKU - Kawanku Panda


Adakah anda pernah mempunyai kawan baik? Apakah anda sanggup melakukan apa sahaja demi kawan anda itu? Demi kawan anda itu, anda sanggup berubah dari baik kepada terbaik. Jika ada, memang baiklah anda berkawan dengan kawan baik anda itu. Jika tiada, cuba anda bayangkan anda ada kawan yang sebaik itu. Namun anda terpaksa berpisah dengannya demi kebaikan bersama. Tentu sedih, bukan? T___T

Saya ada ramai kawan yang baik. Kawan-kawan baik saya itu juga semuanya baik-baik belaka. Tetapi, semuanya terdiri dari manusia yang sempurna. Tiada satu pun dari mereka itu adalah seekor panda. Errr... Kenapa panda?

Ada sebuah buku yang baru saja diterbitkan dan bertajuk Kawanku panda. Pada pendapat saya buku itu sangat menarik walaupun ia tidak mempunyai tangan. Ia juga tidak bersifat magnet. Namun ia tetap menarik. Dibawah ini adalah kaver buku tersebut.


Oh! Janganlah ketawa. Saya tidak membuat kelakar. Walaupun buku itu kelihatan sangat remaja, bukankah saya sememangnya masih belia remaja walaupun keremajaan saya itu hanya terletak di hati. Bahkan, hanya orang berjiwa remaja sahaja yang faham apa itu keremajaan. Tanpa mahu berhujah panjang tentang keremajaan saya, baik saya matikan topik jiwa remaja ini dengan pertanyaan,"Bukankah kamu juga masih membaca manga Naruto dan Bleach?"

Jangan menilai buku dari kavernya. Namun, buku ini memang ceria seperti kavernya. Namun ada juga bahagian-bahagian cerita yang menyentuh hati dan mendebarkan. Secara pukul rata, saya gembira membaca buku ini.

Saya gembira membaca karya Baharudin Bekri (BB) seperti Doa Untuk Aku dan Diari Mat Despatch yang bersiri itu. Jika kamu gembira membaca buku BB seperti yang disebutkan, maka buku ini juga sepatutnya boleh menggembirakan kamu.

Walaupun gembira, namun ada juga beberapa perkara yang menyebabkan ketidakpuasan hati. Jalan cerita yang agak mudah walaupun saspen memang boleh meng-antiklimaks-kan diri. Oleh itu, janganlah dibaca seperti membaca novel thriller dewasa. Bukankah buku ini untuk para belia remaja? Tentulah jalan ceritanya tidak begitu kompleks. Bayangkan jika Diego si Penyelamat Haiwan terpaksa membuat sesuatu yang kompleks bagi mengubati seekor katak yang demam.... Oh! Saya tidak dapat membayangkannya. Tiba-tiba saja jadi blur... Jalan mudah untuk menggembirakan, maka bagi saja ubat demam dan tadaaa... katak itu sihat. Mudah dan tidak sekompleks kompleks membeli belah....

Akhir sekali, saya hendak menyampaikan pesan dari kata-kata hikmah yang saya baca.

"Membaca itu bagus, namun perlu berhati-hati. Ini kerana kita tidak dapat lari dari dipengaruhi oleh bahan bacaan kita."

Maka, berhati-hatilah membaca buku Kawanku Panda. Di Malaysia ini tiada panda. Jika kita terpengaruh hendak memeluk anak panda, alamatnya kita akan menjadi susah. Di mana hendak cari anak panda di Malaysia ini. Maka, janganlah biarkan diri kita terpengaruh dengan bahan bacaan kita. Selebihnya, biarkan ia menjadi misteri....


Tiba-tiba ada suara.... "Jangan biarkan hidup anda diselubungi misteri", maka beli dan bacalah buku ini agar hidup anda tidak lagi diselubungi misteri.

p/s: Jangan baca ending buku ini di dalam bilik yang samar-samar cahaya lampunya, dan seorang diri. Bahaya!

Ditambah pula jika kamu sedang merindui kawan kamu. Lagi bahaya. Menangis kamu nanti.....