SELAMAT DATANG

Wednesday, February 29, 2012

ULASAN BUKU - Kawanku Panda


Adakah anda pernah mempunyai kawan baik? Apakah anda sanggup melakukan apa sahaja demi kawan anda itu? Demi kawan anda itu, anda sanggup berubah dari baik kepada terbaik. Jika ada, memang baiklah anda berkawan dengan kawan baik anda itu. Jika tiada, cuba anda bayangkan anda ada kawan yang sebaik itu. Namun anda terpaksa berpisah dengannya demi kebaikan bersama. Tentu sedih, bukan? T___T

Saya ada ramai kawan yang baik. Kawan-kawan baik saya itu juga semuanya baik-baik belaka. Tetapi, semuanya terdiri dari manusia yang sempurna. Tiada satu pun dari mereka itu adalah seekor panda. Errr... Kenapa panda?

Ada sebuah buku yang baru saja diterbitkan dan bertajuk Kawanku panda. Pada pendapat saya buku itu sangat menarik walaupun ia tidak mempunyai tangan. Ia juga tidak bersifat magnet. Namun ia tetap menarik. Dibawah ini adalah kaver buku tersebut.


Oh! Janganlah ketawa. Saya tidak membuat kelakar. Walaupun buku itu kelihatan sangat remaja, bukankah saya sememangnya masih belia remaja walaupun keremajaan saya itu hanya terletak di hati. Bahkan, hanya orang berjiwa remaja sahaja yang faham apa itu keremajaan. Tanpa mahu berhujah panjang tentang keremajaan saya, baik saya matikan topik jiwa remaja ini dengan pertanyaan,"Bukankah kamu juga masih membaca manga Naruto dan Bleach?"

Jangan menilai buku dari kavernya. Namun, buku ini memang ceria seperti kavernya. Namun ada juga bahagian-bahagian cerita yang menyentuh hati dan mendebarkan. Secara pukul rata, saya gembira membaca buku ini.

Saya gembira membaca karya Baharudin Bekri (BB) seperti Doa Untuk Aku dan Diari Mat Despatch yang bersiri itu. Jika kamu gembira membaca buku BB seperti yang disebutkan, maka buku ini juga sepatutnya boleh menggembirakan kamu.

Walaupun gembira, namun ada juga beberapa perkara yang menyebabkan ketidakpuasan hati. Jalan cerita yang agak mudah walaupun saspen memang boleh meng-antiklimaks-kan diri. Oleh itu, janganlah dibaca seperti membaca novel thriller dewasa. Bukankah buku ini untuk para belia remaja? Tentulah jalan ceritanya tidak begitu kompleks. Bayangkan jika Diego si Penyelamat Haiwan terpaksa membuat sesuatu yang kompleks bagi mengubati seekor katak yang demam.... Oh! Saya tidak dapat membayangkannya. Tiba-tiba saja jadi blur... Jalan mudah untuk menggembirakan, maka bagi saja ubat demam dan tadaaa... katak itu sihat. Mudah dan tidak sekompleks kompleks membeli belah....

Akhir sekali, saya hendak menyampaikan pesan dari kata-kata hikmah yang saya baca.

"Membaca itu bagus, namun perlu berhati-hati. Ini kerana kita tidak dapat lari dari dipengaruhi oleh bahan bacaan kita."

Maka, berhati-hatilah membaca buku Kawanku Panda. Di Malaysia ini tiada panda. Jika kita terpengaruh hendak memeluk anak panda, alamatnya kita akan menjadi susah. Di mana hendak cari anak panda di Malaysia ini. Maka, janganlah biarkan diri kita terpengaruh dengan bahan bacaan kita. Selebihnya, biarkan ia menjadi misteri....


Tiba-tiba ada suara.... "Jangan biarkan hidup anda diselubungi misteri", maka beli dan bacalah buku ini agar hidup anda tidak lagi diselubungi misteri.

p/s: Jangan baca ending buku ini di dalam bilik yang samar-samar cahaya lampunya, dan seorang diri. Bahaya!

Ditambah pula jika kamu sedang merindui kawan kamu. Lagi bahaya. Menangis kamu nanti.....

2 comments:

  1. Alhamdulillah... terima kasih Tuan Aiyrie Rizalman kerana sudi membuat ulasan 'Kawanku Panda'! Dan terima kasih juga kerana membeli terus daripada saya. (^_______^) Insya-Allah, mana-mana yang kurang, akan diperbaiki pada masa hadapan.

    Terima kasih sekali lagi!

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kembali kerana berusaha untuk yang terbaik buat pembaca...

    Membeli buku secara terus dari penulis memang menggembirakan. Lebih gembira jika ada nilai tambah seperti Pandaboy eksklusif yang comel.

    ReplyDelete