SELAMAT DATANG

Saturday, December 31, 2011

Renungan pada kenangan

Salam sejahtera,

2011 akan berakhir. Tahun yang baharu akan hadir. 2012, tahun yang penuh dengan teka-teki. Teka-teki itu hanya akan memeningkan diri, sedangkan apa yang perlu dilakukan tidak dipeduli. Dakwat sudah kering. Oleh itu janganlah gusar dan gundah gulana. Teruskan sahaja kehidupan dengan berpandukan tuntunan Nabi Akhir Zaman, dengan izin tuhan pasti kita akan berjaya.

Pada detik pengakhiran 2011 ini, tidak salah jika dibuat renungan terhadap kisah-kisah silam. Kisah-kisah silam ini adalah kenangan. Kenangan jika dijadikan panduan akan mendatangkan kejayaan. Namun, jika kenangan itu dijadikan impian dan harapan ia akan mendatangkan rasa penyesalan.

Hidup itu indah. Namun hidup juga boleh menjadi gundah. Kata orang kita adalah seperti apa yang kita fikirkan. Oleh itu fikirkanlah yang baik-baik agar kita kehidupan kita akan sentiasa baik. Bahkan, dalam keburukan juga kita akan berjumpa kebaikan jika kita berfikir secara baik.

Tuesday, December 13, 2011

BARHABUK

Salam Sejahtera,

Adakah anda pernah menonton cerita Fung Sai Yuk lakonan Jet Li dan masih ingat tentang abang seguru kepada ibu Fung Sai Yuk? Menurut kisahnya, dia lebih hebat dari ibu Fung Sai Yuk, bahkan telah diwariskan dengan kungfu "Menoktok Mata Urat". Namun akibat telah lama tidak mempraktikkan "ilmu perkungfuan" sehingga ahli kumpulan Persatuan Bunga Merah pun menyangka dia tidak pandai berkungfu, dia akhirnya telah terbunuh semasa menghalang penjahat dari menangkap Fung Sai Yuk. Itu adalah situasi pertama yang dapat saya contohkan tentang keadaan saya.

Contoh yang kedua adalah contoh yang berkadar secara langsung dengan keadaan saya. Itulah "hiatus". Oh! Itu bukan contoh, itu adalah keadaan saya yang sebenar. Lalu apakah yang sebenarnya membawa saya kepada permasalahan ini. Jika saya hendak mengeluarkan diri saya dari masalah ini, saya perlu berusaha sendiri. Tiada kata-kata motivasi yang mempu merubah seseorang melainkan dia sendiri yang bermotivasi untuk berubah.

Apa yang hendak saya nyatakan ialah saya merindui tulisan kawan-kawan saya. Kerinduan yang terpendam itu akhirnya telah memakan diri saya dari dalam sehingga menjadikan saya ternyahmotivasi untuk menulis. Nama-nama seperti Tawel Sensei dari Hembusan, Abqori yang bijak bistari dari Abqori, Yazid si anak tukang jahit yang pandai membebel, FA si kanak-kanak liar, Kucai yang sentiasa menempuh arus masa, Saladin Convoy dan sebagainya sangat-sangat saya rindui. Saya baru menyedari bahawa merekalah yang selama ini menjadi pendorong saya untuk menulis. Tanpa mereka, siapalah saya.

Oh! Ini tidak pula bermakna rakan-rakan yang masih lagi aktif menulis tidak penting buat saya. Kamu memang penting, namun saya adalah manusia biasa yang merindui barang yang hilang. Kamu memang berharga, namun masih di tangan. Sudah menjadi lumrah manusia untuk tidak menyedari kepentingan apa yang ada di tangan, bila sudah hilang barulah hendak menyesal. Saya harap kamu tidak akan hilang. Saya berdoa agar kamu akan selalu ada untuk mengisi kekosongan.

Kesimpulan besar ialah saya merindui masa silam dan ingin ia berulang kembali. Ini adalah satu petanda bahawa saya berada di dalam keadaan yang menurun, bukan semakin baik. Kerana merindui masa silam itu lumrah, namun ingin kembali ke masa silam itu tanda bahawa masa silam adalah lebih baik. Dan orang yang masa silamnya lebih baik dari masa sekarang adalah orang yang berpotensi untuk menjadi orang yang celaka. Moga Allah melindungi saya dari menjadi orang yang celaka. Maka, saya perlu kuatkan semangat dan terus mara ke hadapan. Merenung masa silam hanya untuk menjadikan ia sebagai pedoman.

Wahai tuhan, permudahkanlah....