SELAMAT DATANG

Saturday, December 31, 2011

Renungan pada kenangan

Salam sejahtera,

2011 akan berakhir. Tahun yang baharu akan hadir. 2012, tahun yang penuh dengan teka-teki. Teka-teki itu hanya akan memeningkan diri, sedangkan apa yang perlu dilakukan tidak dipeduli. Dakwat sudah kering. Oleh itu janganlah gusar dan gundah gulana. Teruskan sahaja kehidupan dengan berpandukan tuntunan Nabi Akhir Zaman, dengan izin tuhan pasti kita akan berjaya.

Pada detik pengakhiran 2011 ini, tidak salah jika dibuat renungan terhadap kisah-kisah silam. Kisah-kisah silam ini adalah kenangan. Kenangan jika dijadikan panduan akan mendatangkan kejayaan. Namun, jika kenangan itu dijadikan impian dan harapan ia akan mendatangkan rasa penyesalan.

Hidup itu indah. Namun hidup juga boleh menjadi gundah. Kata orang kita adalah seperti apa yang kita fikirkan. Oleh itu fikirkanlah yang baik-baik agar kita kehidupan kita akan sentiasa baik. Bahkan, dalam keburukan juga kita akan berjumpa kebaikan jika kita berfikir secara baik.

Tuesday, December 13, 2011

BARHABUK

Salam Sejahtera,

Adakah anda pernah menonton cerita Fung Sai Yuk lakonan Jet Li dan masih ingat tentang abang seguru kepada ibu Fung Sai Yuk? Menurut kisahnya, dia lebih hebat dari ibu Fung Sai Yuk, bahkan telah diwariskan dengan kungfu "Menoktok Mata Urat". Namun akibat telah lama tidak mempraktikkan "ilmu perkungfuan" sehingga ahli kumpulan Persatuan Bunga Merah pun menyangka dia tidak pandai berkungfu, dia akhirnya telah terbunuh semasa menghalang penjahat dari menangkap Fung Sai Yuk. Itu adalah situasi pertama yang dapat saya contohkan tentang keadaan saya.

Contoh yang kedua adalah contoh yang berkadar secara langsung dengan keadaan saya. Itulah "hiatus". Oh! Itu bukan contoh, itu adalah keadaan saya yang sebenar. Lalu apakah yang sebenarnya membawa saya kepada permasalahan ini. Jika saya hendak mengeluarkan diri saya dari masalah ini, saya perlu berusaha sendiri. Tiada kata-kata motivasi yang mempu merubah seseorang melainkan dia sendiri yang bermotivasi untuk berubah.

Apa yang hendak saya nyatakan ialah saya merindui tulisan kawan-kawan saya. Kerinduan yang terpendam itu akhirnya telah memakan diri saya dari dalam sehingga menjadikan saya ternyahmotivasi untuk menulis. Nama-nama seperti Tawel Sensei dari Hembusan, Abqori yang bijak bistari dari Abqori, Yazid si anak tukang jahit yang pandai membebel, FA si kanak-kanak liar, Kucai yang sentiasa menempuh arus masa, Saladin Convoy dan sebagainya sangat-sangat saya rindui. Saya baru menyedari bahawa merekalah yang selama ini menjadi pendorong saya untuk menulis. Tanpa mereka, siapalah saya.

Oh! Ini tidak pula bermakna rakan-rakan yang masih lagi aktif menulis tidak penting buat saya. Kamu memang penting, namun saya adalah manusia biasa yang merindui barang yang hilang. Kamu memang berharga, namun masih di tangan. Sudah menjadi lumrah manusia untuk tidak menyedari kepentingan apa yang ada di tangan, bila sudah hilang barulah hendak menyesal. Saya harap kamu tidak akan hilang. Saya berdoa agar kamu akan selalu ada untuk mengisi kekosongan.

Kesimpulan besar ialah saya merindui masa silam dan ingin ia berulang kembali. Ini adalah satu petanda bahawa saya berada di dalam keadaan yang menurun, bukan semakin baik. Kerana merindui masa silam itu lumrah, namun ingin kembali ke masa silam itu tanda bahawa masa silam adalah lebih baik. Dan orang yang masa silamnya lebih baik dari masa sekarang adalah orang yang berpotensi untuk menjadi orang yang celaka. Moga Allah melindungi saya dari menjadi orang yang celaka. Maka, saya perlu kuatkan semangat dan terus mara ke hadapan. Merenung masa silam hanya untuk menjadikan ia sebagai pedoman.

Wahai tuhan, permudahkanlah....

Monday, June 13, 2011

EMEL DARI BAKAL RAKAN KONGSI?

Di bawah adalah emel dari seseorang. Emel itu dihantar melalui alamat zahariah.mohd@yahoo.co.uk ke emel rasmi say di tempat kerja. Tidak perlu dihairankan kerana emel saya itu boleh di ambil dari laman web rasmi tempat saya bekerja.

Di bawah adalah isi emel tersebut.



***MULA***



Salam Sejahtera,

Apa khabar? Terlebih dahulu saya ingin memperkenalkan diri. Nama Saya Zahariah Bt. Mohd Saman dan juga warganegara Malaysia, saya tinggal di London, saya bekerja sebagai Marketing Officer di sebuah syarikat pemprosesan batu mulia di London, United Kingdom. Di sini Saya ingin memperkenalkan kepada encik peluang perniagaan yang besar kenuntungannya, Saya memerlukan bantuan encik dan kerjasama encik untuk memajukan perniagaan ini.saya menghubungi encik kerana saya tidak ingin kehilangan rakan kongsi saya di dalam perniagaan ini. Saya tahu bahawa saya dan encik akan mendapatkan feadah yang baik daripada perniagaan ini di masa akan datang. Sekarang saya hanya ingin encik menjadi pembekal agen kepada syarikat saya bekerja dan encik boleh mendapat keuntungan daripada peluang perniagaan ini. Syarikat saya memerlukan sebuah produk yang disebut (HESSONITE LIQUID). Para Hessonite Liquid adalah cecair kimia saintifik bar substansi, sejenis pelincir, terutama digunakan di makmal untuk gemological pemurnian merawat atau menerangkan, memasuki ke dalam berlian dan mengewap keluar kotoran di dalam berlian dan batu-batu berharga sepertinya.

Pembekal asal produk ini adalah di Malaysia sehingga lah pembekal produk langsung syarikat kami ini mengalami kemalangan di sini London, dia adalah pengurus pemasaran dan sejak dia kemalangan monopoli ini telah tergendala. Saya hanya ingin encik menjadi agen di antara penjual dan pembeli. Ini adalah perniagaan besar untuk saya dan encik dan akan mendapat keuntungan besar. Saya hanya memerlukan kerjasama untuk menjadikan perniagaan ini berjaya. Saya akan memberi anda maklumat lebih lanjut tentang hal ini jika anda bersedia untuk menjadi sebagai agen untuk membekalkan produk ke syarikat kami.



Pertama, saya akan perkenalkan anda pembekal agen kepada syarikat saya nanti. Mengikut peratusan, awalnya harga beli yang sebenarnya produk tersebut oleh syarikat per Carton adalah 4,300.00 USD, sedangkan di Malaysia harga jual tempatan adalah 2,300.00 USD dan syarikat saya memerlukan tidak kurang daripada 200 Cartons. Saya ingin encik menjadi agen link kami yang menghubungkan penjual tempatan di Malaysia secaralangsung kepada syarikat membeli maka margin keuntungan akan digunakan bersama berdua 50% untuk encik, sementara 50% kepada saya.sekiranya encik dapat membantu saya mengurus perniagaan jual beli produk ini saya amat berterimakasih. Kemudian saya akan membincangkan pekara ini bersama pengurus syarikat saya. Saya yakin dan percaya encik boleh menyediakan produk ini kepada syarikat. Di sini juga saya memfailkan butiran dari segi harga dan cara bayaran maka kita boleh mengambil daripada permulaan perniagaan ini.

Encik saya mengharap agar encik dapat membalas email saya ini secepat mungkin, agar saya dapat mengemailkan numbor telefone penjual di malaysia gar encik dapat menghubungi penjual untuk bertanya sama ada penjual tersebut masih mempunyai stock untuk di bekalkan kepada encik. Sebelum syarikat kami akan menghantar pengurus pembelian pergi ke Malaysia untuk membeli produk dari encik secara tunai.

Terima kasih atas kerjasama encik, Saya mengharap dan menunggu balasan email daripada encik.



Wassalam...



Zahariah Bt. Mohd Saman



***TAMAT***



Jika anda hendak percaya dengan tawarannya, terpulang kepada anda. Namun saya tidak akan percaya. Cukuplah saya hanya percaya kepada rukun yang enam.

Tuesday, May 17, 2011

Berbuku di hati, berbuku-buku di mata

Ada banyak perkara yang berbuku di hati saya. Namun untuk mengeluarkannya bukanlah sesuatu yang mudah. Andai saya mahir ber"Qigung" bertaraf Pengemis Utara, masih tidak mampu juga rasanya untuk saya mengeluarkan apa yang berbuku di hati saya. Maklum sahaja, apa yang berbuku di hati saya ini bukanlah darah beku akibat dari pertarungan yang maha dahsyat dengan Ouyang Feng si Bisa Barat, melainkan pertarungan dengan perasaan sendiri yang tidak berkesudahan.

Salah satu cara untuk saya meredakan perasaan yang berbuku di hati itu adalah dengan membaca buku. Sementelah, saya memborong berbuku-buku buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tempoh hari. Pada masa ini saya sedang dalam proses menamatkan pembacaan Ketupat Cinta, karya Dr. Faizal Musa. Jika diperhatikan dengan teliti pada kulit buku tersebut, tiadalah nama Dr. Faizal Musa yang tertulis, melainkan nama Faisal Tehrani.

Pada masa yang sama juga, saya telah memulakan pembacaan karya agung Prof. Dr. HAMKA iaitu Tafsir Al-Azhar. Saya baru memulakan pembacaan jilid yang mentafsirkan juzuk pertama dari Al-Qur'an. Itupun belumlah lagi masuk ke bahagian tafsiran Ayat, melainkan baru tamat bahagian penerangan tentang penulisan tafsir tersebut oleh Prof. Dr. HAMKA sendiri.

Pembacaan saya deselang-selikan juga dengan buku Fiqhud Da'wah, karya Dr. Mohammad Natsir, seorang lagi tokoh sezaman dengan Prof. Dr. HAMKA. Tak kenal maka tak cinta, baru sekarang timbul keinginan untuk mencari karya-karya beliau yang lain. Berbanding dengan karya Prof. Dr. HAMKA, karya Dr. M. Natsir ini agak sukar untuk dicari.

Sehari-dua selepas Pesta Buku, karya Nama Beta Sultan Alauddin telah dihabis baca. Ia juga adalah karya Faisal Tehrani. Sambil-sambil itu, saya ada juga mengintai-intai isi kandungan "Karya nan Indah Untuk Semua" sebuah buku panduan penulisan kreatif dari Faisal Tehrani juga.

Membaca adalah memberi makan kepada minda. Sama seperti memberi makan kepada jasad, ia perlu dipilih dengan baik. Jika ada biji bunga lawang di dalam kari, janganlah ditelan, nanti cirit-birit jadinya. Namun, andai si gerau tidak memasukkan biji bunga lawang, tidak cucup mamaklah rasa kari tersebut. Yang penting haruslah berhati-hati. Makan juga jangan sekali hadap tujuh pinggan dan tujuh jenis hidangan, melainkan perlulah dimakan sedikit-sedikit agar dapat dihadam perut biar tidak membuncit. Bagitu jugalah membaca, jangan terlalu hendak lekas habis sehingga pening kepala dan rabun mata jadinya akibat membaca tanpa henti tujuh buku sekali hadap. Sabar. Itulah kata kuncinya.

Dipendekkan cerita, bilik saya telah menjadi kucar-kacir. Penuh dengan buku yang masih belum bersusun. Dalam hati ada perasaan tamak hendak membaca kesemuanya sekaligus, namun saya hanya manusia biasa yang bermata dua, dihalang pula oleh kaca mata, maka tak berdaya hendak memuaskan rasa tamak itu, lalu termanggu termenung tak terbaca buku-buku yang menunggu dan menambah rasa yang berbuku di hati. Mengenangkan bilalah dapat buku-buku itu ku habisi...

Sunday, May 1, 2011

PBAKL 2011

Setelah beberapa kali terlepas peluang untuk memeriahkan diri di PBAKL, akhirnya saya telah berjaya memenatkan diri di PBAKL2011. Saya telah pergi ke PBAKL2011 pada hari Sabtu (30 April 2011) dengan menaiki KTM Shuttle dari Kampar ke KL Sentral. Dari KL Sentral pula saya menaiki KTM Komuter ke Putra.

Saya sampai di tapak PBAKL iaitu PWTC sebelum jam 8.30 pagi. Sebenarnya saya telah lupa jalan ke PWTC dari stesyen Putra, namun saya telah diselamatkan oleh segerombolan manusia yang saya yakin mereka juga menuju ke destinasi yang sama.

Semasa saya sampai ke PWTC, suasana di salam bangunan itu telah dipenuhi ramai. Suasana agak sesak walaupun dewan tapak PBAKL belum dibuka. Saya sempat mengambil peta tapak PBAKL2011.

Setelah pintu dewan dibuka, saya masuk ke dewan tempat letak booth PTS dahulu. Memang benarlah seperti dalam gambar di blog Sifu PTS, Puan Ainon. Booth PTS memang meriah. Namun saya hanya jalan-jalan sahaja. Kemudian saya masuk ke dewan yang menjadi tapak ekslusif Karangkraf. Agak meriah, namun hati saya bukan di situ. Tiada Faktor X yang memegunkan saya.

Di aras atas pula, saya hanya sempat masuk ke satu dari dua dewan yang menjadi tapak PBAKL2011. Di dalam dewan ini saya terpegun. Masakan tidak, kerana saya ternampak booth ITNM. Ada karya Pak Samad yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Korea dan saya terkagum. Ada satu buku besar (Ada 6 sebenarnya, ia adalah buku yang berjilid) yang tertulis nama besar iaitu Jalaludin Rumi. Nasib baiklah buku itu terlalu besar untuk dibawa dan harganya juga ditahap yang mustahil untuk saya beli, satu jilid sahaja sudah melebihi RM100.00. Namun, ada satu perkara yang mencuit hati saya. Kedapatan beberapa buah buku yang harga ditampal lebih mahal dari harga yang tercetak di belakang buku. Kenapakah itu? Saya masih tidak faham.

Kemudian saya ke booth yang menjual buku-buku terbitan pelbagai universiti. Saya kagum lagi. Ini adalah booth yang pertama menambah jumlah di dalam kad kredit saya di PBAKL2011.

Sesudah itu saya pergi ke booth yang ada banyak buku agama dari Indonesia. Saya terkagum lagi. Andai kata kad kredit saya itu tidak perlu dibayar semula setelah digunakan, mahu rasanya hati saya borong segala buku yang ada di situ. Namun itu hanyalah angan-angan. Kedai itu berjaya mengurangkan jumlah duit di dalam dompet saya.

Tidak jauh dari booth yang menjual buku-buku agama dari Indonesia itu, saya terjumpa booth Pustaka Islamiyah. Saya kagum lagi sekali kerana terjupa berjilid-jilid buku Tafsir Al-Azhar, karya agung Prof HAMKA. Saya hanya membeli dua jilid yang pertama yang mana setiap jilid mewakili satu juzuk dari Al-Qur'an. Saya membeli dua jilid itu dengan niat akan mencukupkan kesemua 30 jilid suatu masa nanti. Amin.

Di dewan yang ini saya terkagum-kagum kerana ada banyak booth yang menyajikan buku-buku yang menarik. Kekaguman saya itu akhirnya telah membuatkan saya tersesat dan tidak menjumpai jalan keluar. Terpaksalah saya berjalan mengikut arus manusia yang teramatlah ramai lagi penuh sesak. Kepala menjadi agak pening. Akhirnya berjaya juga saya mencari pintu keluar.

Setelah itu, saya turun semula dan mencari booth Al-Ameen. Buku yang saya cari di situ adalah buku Karya Nan Indah tulisan Dr. Mohd Faizal Musa @ Faisal Tehrani. Mulanya saya berasa kecewa kerana penjaga tempat yang ada banyak buku-buku FT mengatakan buku itu tidak ada. Lalu saya mengambil dua buah Novel FT. Berpantang maut sebelum ajal, sewaktu hendak membayar saya telah sekali lagi bertanya kepada Cikpuan yang menjaga kaunter bayaran, lalu dia dengan yakinnya mengatakan "ADA" dan muka saya kembali ceria. Terpaksalah Cikpuan itu bersusah payah mencari buku tersebut. Terima kasih kepada beliau.

Akhirnya saya telah masuk semula ke dewan yang menempatkan booth PTS. DI situ tanpa melengahkan masa, saya telah memulun beberapa buku yang sememangnya telah dirancang hendak dibeli. namun ada juga buku yang tidak dirancang termasuk sekali. Dalam suasana yang sesak, terpaksalah saya membawa buku yang banyak itu dengan berhati-hati. Amat sedih, buku terbaru Prof. Muhd Kamil Ibrahim belum ada. Namun saya terkejut kerana kaver buku terbaru Puan Roza Roslan bewarna hijau. Ia adalah buku yang cantik.

Niat di hati saya hendak bertekun di PBAKL2011 sampai ke petang. Namun akibat kesesakan yang melebihi sardin cap ayam, saya terpaksa mengambil keputusan untuk beralah. Perasmian buku Prof. MKI dan Puan Roza tidak mampu saya tunggu. Beg juga telah penuh dan amat berat. Nasib baik saya tidak meninggalkan apa-apa janji di blog beliau.

Sebelum keluar, saya kagum buat kali yang penghabisan. Kerana ada booth Jabatan Mufti Negeri Sembilan di situ. Saya terlupa bahawa 4 tahun yang lalu ia juga menjadi kekaguman saya. Sempat saya juga membeli buku di ditu sebelum berjalan ke stesyen Putra.

Sesampai distesyen Putra, saya kaget. Terlalu ramai manusia berkumpul di sana. Kaunter tiket sesak, mujur saya menggunakan kad Touch N Go. Saya selamat. Sesampai di KL Sentral, saya meletakkan beg yang sarat dengan buku di loker yang ada. RM5 diperlukan untuk meletakkan beg dan barang-barang sehingga jam 12 malam. Tren untuk saya pulang ke Kampar bertolak pada jam 9.45 malam. Ada banyak masa untuk dihabiskan, maka saya ke KLCC untuk merehatkan badan yang letih setelah bersesak-sesak di PBAKL.