SELAMAT DATANG

Tuesday, May 17, 2011

Berbuku di hati, berbuku-buku di mata

Ada banyak perkara yang berbuku di hati saya. Namun untuk mengeluarkannya bukanlah sesuatu yang mudah. Andai saya mahir ber"Qigung" bertaraf Pengemis Utara, masih tidak mampu juga rasanya untuk saya mengeluarkan apa yang berbuku di hati saya. Maklum sahaja, apa yang berbuku di hati saya ini bukanlah darah beku akibat dari pertarungan yang maha dahsyat dengan Ouyang Feng si Bisa Barat, melainkan pertarungan dengan perasaan sendiri yang tidak berkesudahan.

Salah satu cara untuk saya meredakan perasaan yang berbuku di hati itu adalah dengan membaca buku. Sementelah, saya memborong berbuku-buku buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tempoh hari. Pada masa ini saya sedang dalam proses menamatkan pembacaan Ketupat Cinta, karya Dr. Faizal Musa. Jika diperhatikan dengan teliti pada kulit buku tersebut, tiadalah nama Dr. Faizal Musa yang tertulis, melainkan nama Faisal Tehrani.

Pada masa yang sama juga, saya telah memulakan pembacaan karya agung Prof. Dr. HAMKA iaitu Tafsir Al-Azhar. Saya baru memulakan pembacaan jilid yang mentafsirkan juzuk pertama dari Al-Qur'an. Itupun belumlah lagi masuk ke bahagian tafsiran Ayat, melainkan baru tamat bahagian penerangan tentang penulisan tafsir tersebut oleh Prof. Dr. HAMKA sendiri.

Pembacaan saya deselang-selikan juga dengan buku Fiqhud Da'wah, karya Dr. Mohammad Natsir, seorang lagi tokoh sezaman dengan Prof. Dr. HAMKA. Tak kenal maka tak cinta, baru sekarang timbul keinginan untuk mencari karya-karya beliau yang lain. Berbanding dengan karya Prof. Dr. HAMKA, karya Dr. M. Natsir ini agak sukar untuk dicari.

Sehari-dua selepas Pesta Buku, karya Nama Beta Sultan Alauddin telah dihabis baca. Ia juga adalah karya Faisal Tehrani. Sambil-sambil itu, saya ada juga mengintai-intai isi kandungan "Karya nan Indah Untuk Semua" sebuah buku panduan penulisan kreatif dari Faisal Tehrani juga.

Membaca adalah memberi makan kepada minda. Sama seperti memberi makan kepada jasad, ia perlu dipilih dengan baik. Jika ada biji bunga lawang di dalam kari, janganlah ditelan, nanti cirit-birit jadinya. Namun, andai si gerau tidak memasukkan biji bunga lawang, tidak cucup mamaklah rasa kari tersebut. Yang penting haruslah berhati-hati. Makan juga jangan sekali hadap tujuh pinggan dan tujuh jenis hidangan, melainkan perlulah dimakan sedikit-sedikit agar dapat dihadam perut biar tidak membuncit. Bagitu jugalah membaca, jangan terlalu hendak lekas habis sehingga pening kepala dan rabun mata jadinya akibat membaca tanpa henti tujuh buku sekali hadap. Sabar. Itulah kata kuncinya.

Dipendekkan cerita, bilik saya telah menjadi kucar-kacir. Penuh dengan buku yang masih belum bersusun. Dalam hati ada perasaan tamak hendak membaca kesemuanya sekaligus, namun saya hanya manusia biasa yang bermata dua, dihalang pula oleh kaca mata, maka tak berdaya hendak memuaskan rasa tamak itu, lalu termanggu termenung tak terbaca buku-buku yang menunggu dan menambah rasa yang berbuku di hati. Mengenangkan bilalah dapat buku-buku itu ku habisi...

No comments:

Post a Comment