SELAMAT DATANG

Tuesday, May 17, 2011

Berbuku di hati, berbuku-buku di mata

Ada banyak perkara yang berbuku di hati saya. Namun untuk mengeluarkannya bukanlah sesuatu yang mudah. Andai saya mahir ber"Qigung" bertaraf Pengemis Utara, masih tidak mampu juga rasanya untuk saya mengeluarkan apa yang berbuku di hati saya. Maklum sahaja, apa yang berbuku di hati saya ini bukanlah darah beku akibat dari pertarungan yang maha dahsyat dengan Ouyang Feng si Bisa Barat, melainkan pertarungan dengan perasaan sendiri yang tidak berkesudahan.

Salah satu cara untuk saya meredakan perasaan yang berbuku di hati itu adalah dengan membaca buku. Sementelah, saya memborong berbuku-buku buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tempoh hari. Pada masa ini saya sedang dalam proses menamatkan pembacaan Ketupat Cinta, karya Dr. Faizal Musa. Jika diperhatikan dengan teliti pada kulit buku tersebut, tiadalah nama Dr. Faizal Musa yang tertulis, melainkan nama Faisal Tehrani.

Pada masa yang sama juga, saya telah memulakan pembacaan karya agung Prof. Dr. HAMKA iaitu Tafsir Al-Azhar. Saya baru memulakan pembacaan jilid yang mentafsirkan juzuk pertama dari Al-Qur'an. Itupun belumlah lagi masuk ke bahagian tafsiran Ayat, melainkan baru tamat bahagian penerangan tentang penulisan tafsir tersebut oleh Prof. Dr. HAMKA sendiri.

Pembacaan saya deselang-selikan juga dengan buku Fiqhud Da'wah, karya Dr. Mohammad Natsir, seorang lagi tokoh sezaman dengan Prof. Dr. HAMKA. Tak kenal maka tak cinta, baru sekarang timbul keinginan untuk mencari karya-karya beliau yang lain. Berbanding dengan karya Prof. Dr. HAMKA, karya Dr. M. Natsir ini agak sukar untuk dicari.

Sehari-dua selepas Pesta Buku, karya Nama Beta Sultan Alauddin telah dihabis baca. Ia juga adalah karya Faisal Tehrani. Sambil-sambil itu, saya ada juga mengintai-intai isi kandungan "Karya nan Indah Untuk Semua" sebuah buku panduan penulisan kreatif dari Faisal Tehrani juga.

Membaca adalah memberi makan kepada minda. Sama seperti memberi makan kepada jasad, ia perlu dipilih dengan baik. Jika ada biji bunga lawang di dalam kari, janganlah ditelan, nanti cirit-birit jadinya. Namun, andai si gerau tidak memasukkan biji bunga lawang, tidak cucup mamaklah rasa kari tersebut. Yang penting haruslah berhati-hati. Makan juga jangan sekali hadap tujuh pinggan dan tujuh jenis hidangan, melainkan perlulah dimakan sedikit-sedikit agar dapat dihadam perut biar tidak membuncit. Bagitu jugalah membaca, jangan terlalu hendak lekas habis sehingga pening kepala dan rabun mata jadinya akibat membaca tanpa henti tujuh buku sekali hadap. Sabar. Itulah kata kuncinya.

Dipendekkan cerita, bilik saya telah menjadi kucar-kacir. Penuh dengan buku yang masih belum bersusun. Dalam hati ada perasaan tamak hendak membaca kesemuanya sekaligus, namun saya hanya manusia biasa yang bermata dua, dihalang pula oleh kaca mata, maka tak berdaya hendak memuaskan rasa tamak itu, lalu termanggu termenung tak terbaca buku-buku yang menunggu dan menambah rasa yang berbuku di hati. Mengenangkan bilalah dapat buku-buku itu ku habisi...

Sunday, May 1, 2011

PBAKL 2011

Setelah beberapa kali terlepas peluang untuk memeriahkan diri di PBAKL, akhirnya saya telah berjaya memenatkan diri di PBAKL2011. Saya telah pergi ke PBAKL2011 pada hari Sabtu (30 April 2011) dengan menaiki KTM Shuttle dari Kampar ke KL Sentral. Dari KL Sentral pula saya menaiki KTM Komuter ke Putra.

Saya sampai di tapak PBAKL iaitu PWTC sebelum jam 8.30 pagi. Sebenarnya saya telah lupa jalan ke PWTC dari stesyen Putra, namun saya telah diselamatkan oleh segerombolan manusia yang saya yakin mereka juga menuju ke destinasi yang sama.

Semasa saya sampai ke PWTC, suasana di salam bangunan itu telah dipenuhi ramai. Suasana agak sesak walaupun dewan tapak PBAKL belum dibuka. Saya sempat mengambil peta tapak PBAKL2011.

Setelah pintu dewan dibuka, saya masuk ke dewan tempat letak booth PTS dahulu. Memang benarlah seperti dalam gambar di blog Sifu PTS, Puan Ainon. Booth PTS memang meriah. Namun saya hanya jalan-jalan sahaja. Kemudian saya masuk ke dewan yang menjadi tapak ekslusif Karangkraf. Agak meriah, namun hati saya bukan di situ. Tiada Faktor X yang memegunkan saya.

Di aras atas pula, saya hanya sempat masuk ke satu dari dua dewan yang menjadi tapak PBAKL2011. Di dalam dewan ini saya terpegun. Masakan tidak, kerana saya ternampak booth ITNM. Ada karya Pak Samad yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Korea dan saya terkagum. Ada satu buku besar (Ada 6 sebenarnya, ia adalah buku yang berjilid) yang tertulis nama besar iaitu Jalaludin Rumi. Nasib baiklah buku itu terlalu besar untuk dibawa dan harganya juga ditahap yang mustahil untuk saya beli, satu jilid sahaja sudah melebihi RM100.00. Namun, ada satu perkara yang mencuit hati saya. Kedapatan beberapa buah buku yang harga ditampal lebih mahal dari harga yang tercetak di belakang buku. Kenapakah itu? Saya masih tidak faham.

Kemudian saya ke booth yang menjual buku-buku terbitan pelbagai universiti. Saya kagum lagi. Ini adalah booth yang pertama menambah jumlah di dalam kad kredit saya di PBAKL2011.

Sesudah itu saya pergi ke booth yang ada banyak buku agama dari Indonesia. Saya terkagum lagi. Andai kata kad kredit saya itu tidak perlu dibayar semula setelah digunakan, mahu rasanya hati saya borong segala buku yang ada di situ. Namun itu hanyalah angan-angan. Kedai itu berjaya mengurangkan jumlah duit di dalam dompet saya.

Tidak jauh dari booth yang menjual buku-buku agama dari Indonesia itu, saya terjumpa booth Pustaka Islamiyah. Saya kagum lagi sekali kerana terjupa berjilid-jilid buku Tafsir Al-Azhar, karya agung Prof HAMKA. Saya hanya membeli dua jilid yang pertama yang mana setiap jilid mewakili satu juzuk dari Al-Qur'an. Saya membeli dua jilid itu dengan niat akan mencukupkan kesemua 30 jilid suatu masa nanti. Amin.

Di dewan yang ini saya terkagum-kagum kerana ada banyak booth yang menyajikan buku-buku yang menarik. Kekaguman saya itu akhirnya telah membuatkan saya tersesat dan tidak menjumpai jalan keluar. Terpaksalah saya berjalan mengikut arus manusia yang teramatlah ramai lagi penuh sesak. Kepala menjadi agak pening. Akhirnya berjaya juga saya mencari pintu keluar.

Setelah itu, saya turun semula dan mencari booth Al-Ameen. Buku yang saya cari di situ adalah buku Karya Nan Indah tulisan Dr. Mohd Faizal Musa @ Faisal Tehrani. Mulanya saya berasa kecewa kerana penjaga tempat yang ada banyak buku-buku FT mengatakan buku itu tidak ada. Lalu saya mengambil dua buah Novel FT. Berpantang maut sebelum ajal, sewaktu hendak membayar saya telah sekali lagi bertanya kepada Cikpuan yang menjaga kaunter bayaran, lalu dia dengan yakinnya mengatakan "ADA" dan muka saya kembali ceria. Terpaksalah Cikpuan itu bersusah payah mencari buku tersebut. Terima kasih kepada beliau.

Akhirnya saya telah masuk semula ke dewan yang menempatkan booth PTS. DI situ tanpa melengahkan masa, saya telah memulun beberapa buku yang sememangnya telah dirancang hendak dibeli. namun ada juga buku yang tidak dirancang termasuk sekali. Dalam suasana yang sesak, terpaksalah saya membawa buku yang banyak itu dengan berhati-hati. Amat sedih, buku terbaru Prof. Muhd Kamil Ibrahim belum ada. Namun saya terkejut kerana kaver buku terbaru Puan Roza Roslan bewarna hijau. Ia adalah buku yang cantik.

Niat di hati saya hendak bertekun di PBAKL2011 sampai ke petang. Namun akibat kesesakan yang melebihi sardin cap ayam, saya terpaksa mengambil keputusan untuk beralah. Perasmian buku Prof. MKI dan Puan Roza tidak mampu saya tunggu. Beg juga telah penuh dan amat berat. Nasib baik saya tidak meninggalkan apa-apa janji di blog beliau.

Sebelum keluar, saya kagum buat kali yang penghabisan. Kerana ada booth Jabatan Mufti Negeri Sembilan di situ. Saya terlupa bahawa 4 tahun yang lalu ia juga menjadi kekaguman saya. Sempat saya juga membeli buku di ditu sebelum berjalan ke stesyen Putra.

Sesampai distesyen Putra, saya kaget. Terlalu ramai manusia berkumpul di sana. Kaunter tiket sesak, mujur saya menggunakan kad Touch N Go. Saya selamat. Sesampai di KL Sentral, saya meletakkan beg yang sarat dengan buku di loker yang ada. RM5 diperlukan untuk meletakkan beg dan barang-barang sehingga jam 12 malam. Tren untuk saya pulang ke Kampar bertolak pada jam 9.45 malam. Ada banyak masa untuk dihabiskan, maka saya ke KLCC untuk merehatkan badan yang letih setelah bersesak-sesak di PBAKL.